Khamis, 8 Oktober 2009

Selangor memburu satu mata keramat untuk layak


Selangor memburu satu mata keramat untuk layak

SELANGOR hanya memerlukan satu mata sahaja lagi untuk mengesahkan diri sebagai juara Kumpulan D, sekali gus layak secara automatik ke suku akhir Piala Malaysia yang akan bermula 20 Oktober depan, lapor WAN FAKHRUL BAKAR.

Malam kelmarin, Selangor mencatat kemenangan keempat selepas berjaya menewaskan Sabah 4-1 di Stadium Shah Alam menerusi dua jaringan Amri Yahyah serta satu gol sumbangan Safee Sali dan Hardi Jaafar.

Pengurus pasukan Selangor, Zakaria Ab. Rahim berkata, mereka mahu memastikan segalanya dapat diselesaikan Sabtu ini apabila menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Selayang.

"Saya yakin kita akan sahkan diri sebagai juara Kumpulan D pada Sabtu ini. Mungkin kita boleh rehatkan pemain utama pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Kuala Muda Naza di Alor Setar Selasa depan.

"Saya juga berharap para penyokong Selangor dapat membanjiri Stadium Selayang Sabtu ini untuk kita menghidupkan semula mood sebelum bermulanya saingan suku akhir," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengulas aksi Selangor malam kelmarin, Zakaria berkata, para pemainnya tidak beraksi baik pada babak pertama sehingga membenarkan Zainizam Marjan meletakkan Sabah di hadapan pada minit ke-32.

Bagaimanapun, gol tersebut tidak kekal lama apabila Amri menyamakan kedudukan pada minit ke-43.

"Semasa rehat, kita telah beri kata-kata semangat kepada pemain dan mereka kembali bertenaga pada babak kedua seterusnya berjaya menambah tiga lagi gol.

"Kita berikan para pemain rehat hari ini (semalam) untuk mereka memulihkan semula tenaga setelah mengharungi jadual yang ketat sepanjang minggu ini," jelasnya.

Sementara itu, Zakaria turut berbangga dengan pencalonan beberapa pemain Selangor yang berada dalam senarai pendek untuk Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2009 yang akan berlangsung pada 4 November depan.

"Selangor ada lima calon iaitu Hamsani Ahmad (penjaga gol terbaik), Khairul Anuar Baharom (pertahanan terbaik), Amri (pemain tengah terbaik), Safee (penyerang terbaik) dan K. Devan (jurulatih terbaik).

"Saya harap pemain-pemain ini dapat meneruskan kecemerlangan dalam Piala Malaysia ini supaya bersama pemain-pemain lain membawa Selangor untuk muncul juara," jelas Zakaria.

sumber~kosmo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan