Isnin, 12 Oktober 2009

palermo wira sejati Argentina

palermo wira sejati Argentina


PALERMO meraikan jaringannya pada aksi kelayakan Piala Dunia 2010 menentang Peru di Buenos Aires semalam. Argentina menang 2-1.





BUENOS AIRES - Jurulatih Argentina, Diego Maradona memberikan pengiktirafan luar biasa kepada pemain gantiannya, Martin Palermo dengan gelaran 'Keajaiban St. Palermo'.

Gelaran itu diberikan selepas Palermo menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan untuk membantu Argentina menewaskan Peru 2-1 dalam kempen kelayakan Zon Amerika Selatan semalam.

Jaringan itu sekali gus membuka peluang Argentina untuk menempatkan diri dalam kelompok terbaik untuk mara ke pusingan akhir Piala Dunia.

Argentina bakal mengesahkan tiket ke Afrika Selatan tahun depan andai berjaya menewaskan Uruguay pada perlawanan terakhir Rabu ini.

"Pergi, letakkan diri kamu di dalam dan tamatkan cerita (perlawanan) ini dengan sebaik mungkin seperti mana yang orang ramai inginkan," jelas Maradona kepada Palermo ketika dia memasukkan pemain itu pada minit ke-46.

Pada aksi di Stadium Monumental River Plate semalam, bintang Argentina, Gonzalo Higuain terlebih dahulu meletakkan Argentina di hadapan pada minit ke-47. Namun, Peru kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-92 sebelum Palermo menjaringkan gol kemenangan Argentina.

"Kami hampir tersingkir daripada Piala Dunia, tetapi saya tidak akan lupa tentang Palermo, Saint Palermo.

"Jadi, kami akan pergi dan bermain di Montevideo (Uruguay) dengan rasa bangga," tambah Maradona.

Argentina kini melonjak ke tangga keempat peringkat kumpulan, iaitu kedudukan terakhir untuk mara secara automatik ke Afrika Selatan. - AP

sumber~kosmo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan