Rabu, 7 Oktober 2009

Harimau muda

Bolehlah...


SKUAD Harimau Muda mempamerkan aksi bertenaga pada Kejohanan Bola Sepak Jemputan Pra-Sukan SEA di Laos semalam.


WALAUPUN muncul naib juara, tetapi pencapaian skuad Harimau Muda pada Kejohanan Bola Sepak Jemputan Pra-Sukan SEA 2009 tetap membanggakan.

Ia petanda kebangkitan dengan syarat skuad muda ini terus diberi pendedahan yang sewajarnya.

Pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Laos di Vientiane semalam, skuad bimbingan Ong Kim Swee itu seri 1-1 dengan tuan rumah, Laos.

Kedua-dua pasukan terikat lima mata pada kejohanan liga satu pusingan itu tetapi Laos muncul juara dengan kelebihan jaringan.

Menariknya, skuad Harimau Muda mengekalkan rekod bersih pada kejohanan ini iaitu seri dua kali dan menang sekali.

Sebelum ini, Laos seri 2-2 dengan skuad B-19 Vietnam dan menang 3-0 ke atas skuad B-19 Thailand manakala Harimau Muda seri 2-2 dengan skuad B-19 Thailand dan menewaskan skuad B-19 Vietnam 3-1.

Thailand menduduki tempat ketiga dengan empat mata selepas mereka menewaskan Vietnam 3-1 petang semalam manakala Vietnam di tangga tercorot dengan satu mata.

Pada perlawanan malam tadi, Harimau Muda beraksi garang pada separuh masa pertama dan memperoleh dua peluang terbaik untuk menjaringkan gol.

D. Saarvindran memilih untuk melakukan rembatan terus biarpun Ahmad Shakir Md. Ali berada dalam kedudukan selesa untuk melakukan tindakan penyudah.

Selepas itu, percubaan kapten, Muslim Ahmad pada penghujung babak pertama berjaya dihalang pertahanan lawan.

Pada minit ke-52, penyerang Laos, Lamnao Singto berjaya menggegar gawang Harimau Muda tetapi jaringannya itu dibatalkan selepas pengadil mendapati dia terlebih dahulu mengasari pertahanan lawan.

Laos akhirnya berjaya membolosi gawang Zamir Selamat pada minit ke-80 selepas hantaran Singto dari sebelah kiri berjaya ditolak masuk oleh Paseuthsack Souliyavong untuk tuan rumah mendahului 1-0.

Harimau Muda bagaimanapun hanya memerlukan dua minit untuk menyamakan kedudukan menerusi jaringan Muslim yang menanduk masuk bola sepakan percuma K. Gurusamy dari sebelah kiri.

Namun, anak-anak buah Ong Kim Swee itu gagal untuk mencari gol kemenangan meskipun dilihat banyak menguasai permainan.

Harimau Muda selepas ini akan terus terbang ke Vietnam bagi menghadapi Kejohanan Bola Sepak Jemputan B-21 Piala Newspaper 2009 bermula Jumaat ini.

Mereka diundi satu kumpulan bersama China dan Iran manakala satu lagi kumpulan dibarisi tuan rumah, Vietnam, Thailand dan Singapura.

sumber~kosmo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan