Isnin, 12 Oktober 2009

Kedah mengharap keajaiban



PEMAIN Kedah, Azrul Ahmad (kanan) berebut bola dengan pemain Kelantan, Rosairil Asrol pada aksi Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar kelmarin.





DI atas kertas, laluan Kedah untuk ke mara suku akhir sangat tipis.

Malah, tidak keterlaluan andai dikatakan impian juara treble itu untuk berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik pada Piala Malaysia musim ini cukup mustahil.

Namun, tanpa mahu memikirkan masalah itu, skuad Kenari tetap meletakkan harapan dan mencari tuah untuk tidak tercicir dalam misi merebut piala berprestij itu.

Jurulatihnya, Mohd. Azraai Khor Abdullah mahu anaknya buahnya terus berjuang kerana saingan masih berbaki satu perlawanan iaitu menentang Pulau Pinang di tempat lawan esok.

Katanya, dia sedar laluan pasukannya adalah sukar kerana terpaksa bergantung kepada keputusan perlawanan lain daripada empat lagi kumpulan.

"Peluang Kedah untuk mara (suku akhir) perlu bergantung kepada keputusan perlawanan pasukan lain, namun dalam bola sepak macam-macam boleh berlaku. Kita masih mengharap," katanya.

Kelmarin, Kedah mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kelantan, iaitu pasukan yang sudah mengesahkan tempat ke suku akhir.

Jaringan kemenangan skuad Hijau Kuning dijaringkan Sabree Abu pada minit ke-45.

Menyentuh peluang Kedah menentang skuad Pulau Pinang, Azraai berkata, pasukannya mengharapkan kemenangan, namun sedar mereka bakal berdepan saingan sengit lebih-lebih lagi akan beraksi di tempat lawan.

"Saya harap barisan serangan dapat melakukan yang terbaik dengan membuat jaringan," katanya.

Kedah perlu menang dengan jaringan besar bagi membolehkan mereka mengutip 10 mata sekali gus mara ke separuh akhir.

Lima pasukan sudah mengesahkan tempat ke suku akhir iaitu KL Plus, Negeri Sembilan, Johor FC, Selangor dan Kelantan manakala Terengganu pula hanya perlu seri untuk layak.

Dua tempat lagi bakal menjadi rebutan Perlis, Perak, KM Naza, Kedah dan Pulau Pinang selaku naib juara terbaik setiap kumpulan.

sumber~kosmo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan