Reputasi tercalar
|
|
‘BAGAI mencurah air ke daun keladi’.
Perumpamaan itu mungkin tepat merujuk kepada penyokong bola sepak Kelantan yang tidak pernah serik bertindak di luar batasan dengan membaling objek dan membakar mercun setiap kali perlawanan berlangsung di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu.
Meskipun berkali-kali dinasihatkan dan pelbagai tindakan telah diambil, masih juga perkara yang sama berulang sehingga menjadikan imej skuad Wira Merah itu kian tercalar.
Nyata, mentaliti seperti ini tidak membantu membangkitkan semangat juang pemain, sebaliknya permainan boleh jadi terbantut apabila melihat insiden-insiden buruk seperti itu berlaku.
Timbalan Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net), Nik Mohd. Sallehudin Nik Abdul Razak melahirkan rasa dukacita terhadap segelintir penyokong yang tidak dapat mengawal emosi ‘fanatik’ dan bertindak di luar kawalan.
Sambil menyifatkan mereka tidak mengambil iktibar daripada kejadian yang lalu, Nik Mohd. Sallehudin berkata, kewujudan penyokong sedemikian dianggap sebagai ‘duri dalam daging’ kepada peminat lain yang datang untuk menyaksikan perlawanan.
“Bukan sesuatu yang seronok bila bakar mercun, jika tersilap, ada orang lain boleh terkena serpihan bahan itu, ada pula kemalangan jiwa berlaku.
“Benda ini suatu yang membahayakan dan rasanya semua penyokong cukup cerdik untuk membezakan sesuatu yang baik dan buruk,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan mengenai keluhan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang terpaksa membayar denda sejumlah lebih RM200,000 ekoran tingkah laku kurang bijak segelintir penyokong Kelantan.
Timbalan Presiden Kafa, Ahmad Jazlan Yaakub berkata, jumlah bayaran denda itu merupakan satu kerugian yang besar kerana ia seharusnya digunakan untuk tujuan pembangunan pasukan dan kemajuan bola sepak di Kelantan.
Nik Mohd. Sallehudin turut mencadangkan supaya kawalan ketat oleh pihak polis dan pihak berkuasa yang lain diperluaskan dan tidak hanya semata-mata berkawal di tepi padang.
“Mungkin pihak polis boleh duduk bersama dengan penyokong lebih-lebih lagi di bahagian tidak berbumbung bagi mudah mengenal pasti individu yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
sumber~kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan