Isnin, 12 Oktober 2009

Buat bantahan bertulis - Raja Ahmad

Buat bantahan bertulis - Raja Ahmad




"JANGAN jadikan surat khabar sebagai tempat meluahkan perasaan tidak puas hati."

Demikian permintaan Pengerusi Jawatankuasa Kepengadilan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (gambar) kepada mana-mana pasukan yang tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

Katanya, suasana kepengadilan bola sepak di negara ini akan menjadi kelam kabut jika akhbar menjadi tempat meluahkan perasaan tidak puas hati.

Sebaliknya, beliau meminta pihak yang tidak berpuas hati itu mengemukakan bantahan secara bertulis kepada jawatankuasa tersebut.

"Jawatankuasa ini akan meneliti setiap bantahan yang dikemukakan bagi memperbaiki kelemahan dalam sistem pengadilan," jelas Raja Ahmad selepas menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Orang Ramai Tebing Tinggi semalam.

"Walaupun banyak pasukan tidak berpuas hati dengan mutu kepengadilan dalam persaingan Piala Malaysia, tetapi kami hanya menerima satu bantahan rasmi sahaja."

Raja Ahmad bagaimanapun tidak menamakan pasukan yang menghantar bantahan rasmi tersebut.

"Sepatutnya, kami menerima lebih banyak bantahan rasmi agar jawatankuasa ini dapat melakukan penilaian secara menyeluruh terhadap pengadil-pengadil yang didakwa tidak berkualiti itu," tambahnya.

Beliau memberitahu, seramai lima pengadil Malaysia bertaraf pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bersama-sama pengadil kelas 1 telah dan sedang mengadili perlawanan Piala Malaysia musim ini.

Oleh itu katanya, mutu kepengadilan di negara ini tetap berkualiti dan setanding dengan negara-negara lain.

sumber~kosmo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan