Tuah menyebelahi Itali
MILAN - Juara bertahan, Itali terpaksa bergantung kepada sedikit tuah untuk memastikan tiket automatik ke pusingan akhir Piala Dunia 2010.
Malah, jurulatih Itali, Marcello Lippi berharap akan ada lagi petanda-petanda baik buat pasukan kendaliannya itu dalam misi melakar kejayaan di Afrika Selatan tahun depan.
Kelmarin, pemain gantian Alberto Gilardino meledak gol pada minit-minit terakhir permainan untuk memastikan Azzurri mengutip satu mata hasil keputusan seri 2-2 dengan Itali di Dublin.
Keputusan seri itu sudah cukup buat Itali mengesahkan slot ke pusingan akhir selepas mengungguli Kumpulan 8 dengan 21 mata, empat mata di hadapan Ireland yang berada di tangga kedua.
Kini, dengan hanya berbaki satu perlawanan peringkat kelayakan menentang Cyprus di Parma Rabu ini, Lippi berharap dapat membantu Itali mengulangi kejayaan muncul juara Piala Dunia pada tahun 1982 dan 2006.
"Selain tahun 2010, Itali juga pernah mara ke pusingan akhir Piala Dunia 1982 dan 2006 ketika masih ada baki perlawanan peringkat kelayakan," jelas Lippi.
"Namun, kami bukan bercakap mengenai persamaan itu, tetapi kami tahu bagaimana kami menamatkan kempen pada tahun tersebut.
"Kami berjaya muncul juara pada tahun itu dan saya boleh katakan kami memiliki petanda itu."
Sementara itu, Gilardino mengakui dia cukup bangga dapat menjaringkan gol penyamaan pada aksi kelayakan kelmarin.
"Di penghujung perlawanan, kami memang berhak mencatat keputusan seri. Gol yang saya jaringkan itu adalah gol yang cukup penting buat Azzurri." - Reuters
sumber~kosmo